Blog ini sudah beralih ke: http://melayu.ayatalquran.net

SURAH AL BALAD TERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Surah Al Balad ( البلد‎) Terjemahan Bahasa Melayu
Ialah surah ke-90 dalam al-Quran yang terdiri atas 20 ayat. Surah ini tergolong surah Makkiyah. Dinamakan Al Balad yang bererti Negeri diambil dari perkataan "Al-Balad" yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Yang dimaksud dengan kota dalam ayat ini ialah kota Makkah.

AL BALAD

[1] Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

[2] Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),

[3] Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

[4] Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

[5] Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?

[6] Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).

[7] Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?

[8] (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) –

[9] Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?

[10] Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

[11] Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;

[12] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

[13] (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;

[14] Atau memberi makan pada hari kelaparan –

[15] Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

[16] Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

[17] Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

[18] (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

[19] Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –

[20] Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

0 Response to "SURAH AL BALAD TERJEMAHAN BAHASA MELAYU"

Catat Ulasan