Ialah surah ke-78 dalam al-Quran, terdiri atas 40 ayat. Surah ini tergolong surah Makkiyah. Dinamakan An Naba’ yang bererti berita besar diambil dari kata An Naba´ yang terdapat pada ayat 2 surat ini. Dinamai juga Amma yatasaa aluun diambil dari perkataan "Amma yatasaa aluun" yang terdapat pada ayat 1 surat ini.
AN NABA'
[1] Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
[2] Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
[3] Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
[4] Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).
[5] Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
[6] (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
[7] Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
[8] Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
[9] Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
[10] Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
[11] Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?
[12] Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
[13] Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?
[14] Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, –
[15] Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, –
[16] Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
[17] Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,
[18] Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
[19] Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
[20] Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
[21] Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan –
[22] Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
[23] Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
[24] Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman –
[25] Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, –
[26] Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
[27] Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
[28] Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
[29] Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
[30] (Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.
[31] Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
[32] (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
[33] Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
[34] Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
[35] Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
[36] Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
[37] Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
[38] (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
[39] Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
[40] Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.
0 Response to "SURAH AN NABA' TERJEMAHAN BAHASA MELAYU"
Catat Ulasan